suria

Perhatian! KWSP Jalan Raja Laut KL ditutup sementara selepas dikunjungi ahli positif Covid-19

Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur ditutup sementara susulan salah seorang pengunjung positif Covid-19.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan seorang pengunjung yang datang ke cawangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 27 Februari, positif Covid-19.

Ia berkata, cawangan itu ditutup buat sementara untuk memudahkan proses disinfeksi dan dibuka semula pada 16 Mac.

Menurut KWSP, ahli yang disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac berurusan di pejabat itu antara pukul 2 petang dan 2.30 petang 27 Februari.

“Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli tersebut telah dijangkiti COVID-19 sebelum dia berurusan di pejabat KWSP,” menurut KWSP dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Ia berkata, pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dihantar untuk menjalani pemeriksaan, dan pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin. 

“KWSP bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan.

“Langkah proaktif telah diambil dengan menutup pejabat tersebut sehingga Jumaat, 13 Mac untuk menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

“Pejabat KWSP ini akan beroperasi semula pada Isnin, 16 Mac,” katanya.

KWSP turut memberitahu bahawa menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada Covid-19. 

“Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.

“Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP.

“Sebagai langkah berjaga-jaga yang lebih lanjut, ahli mesti menjalani pemeriksaan suhu wajib sebelum memasuki mana-mana premis KWSP,” katanya.

Sementara itu, menurut KWSP, kaunter-kaunternya di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa.

KWSP juga menasihatkan ahli membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter.

“Ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan terdekat sekiranya mempunyai simptom-simptom berkaitan, mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan perlindungan diri yang bersesuaian sebelum berurusan di kaunter,” menurut kenyataan itu.

KWSP, Covid-19, Jalan Raja Laut

Artikel Lain