suria

Ijtima of Asia 2020 tangguh, semua rakyat Malaysia pulang dari luar negara jalani kuarantin 14 hari - Hishammuddin

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata beliau berasa lega dengan keputusan pihak penganjur menangguhkan Ijtima of Asia 2020. Foto Kredit: Liputan6

MALAYSIA menyambut baik keputusan pihak penganjur untuk menangguhkan perhimpunan tabligh di Indonesia.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata beliau berasa lega dengan keputusan pihak penganjur tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Puluhan rakyat Malaysia dipercayai berada di Sulawesi hadiri Ijtima of Asia 2020

“Ramai yang mesej saya tentang perhimpunan tabligh di Indonesia semalam kerana risau ia boleh merebakkan Covid-19, khususnya rakyat Malaysia yang hadir.

"Lega, pihak berkuasa dan penganjur telah putuskan untuk tangguhkan perhimpunan di Gowa tersebut” katanya menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 pada Khamis.

Hishammuddin berkata Wisma Putra tetap dengan berpendirian bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut laporan Agensi, Acara Ijtima of Asia 2020 yang berlangsung di Gowa, Sulawesi Selatan dibatalkan bagi mengekang penularan virus Covid-1.

CNN Indonesia melaporkan, penangguhan acara itu selepas kerajaan Indonesia bekerjasama dengan tentera serta polis melarang orang ramai daripada berhimpun termasuk dalam aktiviti keagamaan.

Bernama sebelum ini melaporkan acara itu yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh, dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana. - BERNAMA

Artikel Lain