MUFTI Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dimasukkan ke hospital pagi Rabu berikutan mempunyai tanda jangkitan wabak Covid-19. Memetik Harian Metro, mufti itu dilaporkan mengalami simptom seperti demam dan sakit tekak selepas pulang dari Sarawak, Khamis minggu lalu. Menurut salah seorang anak Mohamad Shukri, dia memberitahu bapanya mengalami sakit sendi selepas pulang dari Sarawak dan mendapat cuti sakit ketika ke klinik pada Ahad lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Bersangka baik dengan ibu bapa hantar anak ke pusat tahfiz - Mufti Kelantan “Namun selepas keadaan demam tidak berkurangan, bapa sekali lagi ke klinik sebelum diminta membuat saringan dan dimasukkan ke HRPZ II jam 9 pagi semalam (Rabu). “Bapa dimasukkan ke hospital untuk pemantauan memandangkan sekarang wabak Covid-19. Keputusan darah bapa belum lagi keluar. “Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dan mesej yang tersebar mengatakan bapa dalam keadaan kritikal adalah tidak benar,” katanya. Tegasnya, bapanya berada dalam keadaan yang sihat namun ada rasa mual, malah mereka sempat berkomunikasi menerusi panggilan video. Menurutnya lagi, mereka sekeluarga juga diminta untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk ujian saringan. "Kami meminta orang ramai mendoakan keadaan bapa,” katanya.