suria

Agong pandu kereta tinjau Perintah Kawalan Pergerakan, sertai sekatan jalan raya - “Tuanku jaga kesihatan juga”

Yang di-Pertuan Agong mencemar duli meninjau sendiri keadaan di sekitar ibu negara.

MEMASUKI hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan wabak Covid-19 di negara ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat mencemar duli meninjau sendiri keadaan di sekitar ibu negara.

Dua video, termasuklah yang memaparkan Agong memandu sendiri kenderaan dalam melakukan tinjauan berkenaan dikongsi menerusi Instagram istana_negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera akan bantu polis pastikan rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan - Ismail Sabri

"Perhatikan banyak lagi kenderaan di jalan raya. Ini sudah tentu petunjuk yang tidak baik dan saya harap ini dapat dikurangkan secepat mungkin untuk kebaikan bersama masyarakat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur.

"Ini Lebuh Raya DUKE, perhatikan kenderaan-kenderaan sebelah sana banyak berkurangan," titah Agong yang kelihatan turut memakai topeng muka dalam video itu.

Dalam satu lagi video berasingan, Agong bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan berada di satu lokasi sekatan jalan raya.

Agong dalam satu sekatan jalan raya bersama PDRM pada Jumaat.

Posting itu menerima pujian ramai, tak kurang juga yang terharu dengan keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata.

Malah, kedua-dua video itu dihujani ratusan komen termasuklah yang mendoakan kesihatan Agong serta seluruh kerabatnya.

"Semoga tuanku sekeluarga berada dalam keadaan sihat dan dihindari dari wabak ini.

"Tuanku jaga kesihatan juga.

"Raja seperti ini yang kita mahukan... rakyat amat gembira dgn keprihatinan tuanku.

"Tuanku sangat prihatin. Daulat Tuanku.

"Daulat Tuanku. Cubit je yang tak nak dengar cakap tu. Ampun Tuanku," tulis beberapa netizen.


Artikel Lain