SETIAP daripada kita ada peranan masing-masing untuk memutuskan rangkaian Covid-19, demikian kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. "Jadi, duduk rumah, jarakkan sosial, amalkan kerbesihan, break the chain dan kita mesti menang!" katanya menerusi video pesanan ringkas yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Rabu. Dr Adham juga menyampaikan penghargaan atas pengorbanan barisan hadapan dalam menangani penularan wabak berbahaya ini. "Kita akan pastikan keperluan petugas barisan hadapan ini mencukupi dan menambah mengikut keperluan," katanya. Malahan, katanya, kerajaan Malaysia mahu melakukan yang terbaik bagi melindungi nyawa rakyat. Menerusi video pendek itu juga, Dr Adham mengetengahkan #PutuskanRantaianCovid dan #KitaMestiMenang bagi menarik perhatian ramai untuk sama-sama mematuhi arahan untuk memerangi wabak berbahaya ini. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula mengingatkan pasukan hadapan kesihatan supaya kekal bersemangat kuat dan menjaga diri masing-masing. "Sebagai pasukan penting yang bertangungjawab membendung merebaknya wabak Covid-19 di negara ini. "Sama ada kita berjaya atau tidak, ia terpulang kepada kita sekarang untuk melakukan yang berbaik untuk Yang di-Pertuan Agong dan negara," katanya menerusi mesej ringkas di laman Facebook miliknya, pagi Rabu. Kepada orang ramai pula, kata beliau, setiap daripada kita boleh membantu untuk negara menang dalam peperangan ini. "Duduk di rumah dan bantu putuskan rantian Covid-19, kerap mencuci tangan dan jarakkan sosial," katanya.