PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Tempoh PKP yang yang bermula 18 Mac lalu sepatutnya berakhir 31 Mac ini. ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hidap penyakit kronik korban ke-17 Covid-19 Menerusi perutusan pada Rabu, Muhyiddin mengakui situasi semasa di negara ini berkemungkinan menjadi lebih sukar. "Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. "Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia," ujarnya. Menurut Perdana Menteri lagi, taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjangkakan peningkatan kes jika tiada sebarang tindakan diambil. Namun katanya, PKP yang diperkenalkan sejak Rabu lalu ternyata sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak berkenaan. "Saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini. "Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. "Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home," jelasnya. Mengakui bukan mudah untuk berada di rumah dalam satu tempoh lama dan berhadapan perubahan gaya hidup, perdana menteri bagaimanapun memuji sikap rakyat negara ini yang cukup kreatif dalam berhadapan detik sukar. Malah katanya, rakyat negara ini juga mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. "Tetapi saya lihat ramai yang kreatif. Saya tengok di Facebook, ada yang dah mula bersenam di rumah. Ada yang menggunakan Skype untuk berhubung dengan rakan-rakan sekerja. "Saya sendiripun menggunakan facetime untuk berbual dengan cucu saya. Maklumlah, mereka tak dapat nak berkunjung ke rumah Tok Ayah seperti biasa. "Ibu-ibu pun, kerana ada banyak masa di rumah, mencuba pelbagai resipi masakan baharu untuk hidangan seisi keluarga. "Tak kurang juga para bapa yang menggunakan peluang duduk di rumah untuk bersolat jemaah dengan isteri dan anak-anak," jelasnya lagi.