PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan suasana sebak dalam kalangan rakyat apabila mengakhiri perutusan khasnya dengan berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan semua. Perutusan Khas Covid-19 yang disiarkan secara langsung di pelbagai saluran televisyen dan radio nyata menarik perhatian ramai. "Kita telah berikhtiar sedaya upaya untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. "Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa," katanya yang turut mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini. Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat negara ini bersama-sama menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar diri, keluarga, negara dan seluruh umat manusia dilindungi oleh-Nya. Katanya lagi, kepada penganut agama bukan Islam boleh bertafakkur dan berdoa mengikut ajaran agama masing-masing. Didahului dengan bacaan Al-Fatihah, perdana menteri dengan nada sebak seterusnya melafazkan doa seperti berikut: Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau ampunilah dosa-doa kami, Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami, Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah, Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang berbahaya dan wabak yang mengancam nyawa, Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini, Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami, Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami Ya Allah tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepadaMu. Ya Allah Ya Rahman Ya Syaafi, Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak Coronavirus walau di mana sahaja mereka berada, Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya Allah, Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya Allah, Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah, Lindungilah kami, selamatkanlah kami, sejahterakanlah hidup kami. Pada akhir doa, beliau membaca petikan dari surah Al-Baqarah ayat 201 yang membawa maksud: Ya Allah, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari siksa api neraka.