PELBAGAI ragam aneh dan pelik rakyat Malaysia yang disajikan di laman sosial sejak tiga minggu ‘terkurung’ di kediaman masing-masing lantaran kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19. Namun bagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sungguhpun ada yang kelihatan seperti ‘buang tabiat’, namun beliau kagum dengan kreativiti rakyat Malaysia yang mencipta pelbagai aktiviti bagi menghilangkan kebosanan masing-masing. ARTIKEL BERKAITAN: “Betul ke suami kau macam ni?” - Nak elak pintu peti ais roboh, bapa berkorban apa saja... main ‘kahwin-kahwin’ isteri pandang semacam ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh PKP dedah perangai pelik bapa, dua anak lelaki suka ‘berkelawar’ di rumah - “Mak dah macam supplier” “Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu. “Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah. “Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian,” katanya ketika menyampaikan ucapan Langkah Tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen pada Isnin. Perdana Menteri dalam masa yang sama berkata, beliau memahami situasi kini di mana rata-ratanya mulai berasa agak terbeban bukan sahaja kerana bimbang dengan penularan wabak tersebut, namun dalam masa yang sama pergerakan amat terhad sejak tiga minggu lalu. Tan Sri Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan Langkah Tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada Isnin. “Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya. Bagaimanapun menurut beliau, situasi yang dihadapi Malaysia ketika ini merupakan satu ujian daripada Tuhan, sambil menambah setiap rakyat perlu cekal dalam mendepaninya bersama-sama. “Dan saya yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani kita dengan sesuatu yang tidak boleh kita tanggung. “Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. “Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama,” ujar beliau. Kerajaan Malaysia mula melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu dan ia dilanjutkan ke fasa 2 sehingga 14 April ini demi membendung penularan wabak Covid-19, yang telah mengorbankan 62 individu setakat ini.