suria

Pesalah ingkar PKP jalani hukuman di 13 akademi penjara - “Masuk situ bukan bermakna makanan mewah, tapi ikut SOP penjara biasa”

13 Akademi Penjara sebagai pusat tahanan baharu untuk pesalah yang ingkar arahan PKP.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan untuk pesalah yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Rabu petang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak timbul isu beramai-ramai dalam lokap” - SOP lebih ketat, menteri tegaskan rakyat perlu serius patuh PKP fasa 2

"Pihak polis tak lagi bertoleransi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil dan gagal mematuhi PKP. Tindakan tegas terus diambil kepada sesiapa yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Apabila dibawa ke mahkamah, dihukum penjara maka timbul isu yang pernah dibangkitkan iaitu penjara terlalu sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan.

"Mesyuarat semalam memutuskan KDN mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan baharu untuk pesalah ingkar PKP," ujarnya.

Tambah Ismail, 13 pusat tahanan itu akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti penjara-penjara di negara ini.

"Walaupun akademi penjara jadi pusat tahanan, undang-undang sama sahaja dengan penjara biasa.

"Bukan bermakna masuk ke situ, makanan mewah dan sebagainya. Tetap ikut SOP penjara biasa," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, maklumat selanjutnya mengenai pusat tahanan itu tidak diperincikan lagi.

Kata Ismail, maklumat lanjut mengenai perundangan dan sebagainya akan dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia dan pejabat peguam negara.

Artikel Lain