JIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sekali pun, ia tidak bermakna kawalan sempadan akan kembali seperti biasa. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia sebaliknya perlu diperketatkan lagi dalam mengekang penularan Covid-19.ARTIKEL BERKAITAN: Lanjut atau tamat PKP? KP Kesihatan akan bentang data terkini Covid-19 kepada PM beberapa hari lagi "Menamatkan PKP tidak bermakna kita akan membuka kawalan sempadan, malah, kita perlu perketatkannya. "Seperti anda lihat, lebih 180 negara terlibat dengan kes positif. Kawalan sempadan sangat penting," ujarnya menerusi sidang media pada Khamis petang. Kata Dr Noor Hisham, selain kawalan sempadan, penting untuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat kepada transmisi wabak yang berlaku di dalam negara. Malah, aspek itu turut menjadi indikasi sebelum KKM meneruskan langkah secara perlahan-lahan atau soft-landing untuk menamatkan PKP. "Berdasarkan kes yang kita ada, kes harian, kita lihat trend jangkitan. Sejak beberapa hari lalu, kita menyaksikan bilangan kes dua digit. Itu bagus. "Apa saya nak tekankan di sini, hari ini ada 71 kes. 19 kes merupakan kes import. Bermakna 52 adalah transmisi lokal. "Daripada 52 kes, 22 melibatkan pekerja asing dari India, Bangladesh dan Pakistan. Itu dari Selangor Mansion. "Jadi, kita perlu lihat trasmisi lokal. Ini adalah indikasi yang kita ada. Kita ada enam indikasi. Kena lihat semua sebelum kita nasihatkan perdana menteri sama ada nak teruskan PKP atau akan ada langkah kecil strategi keluar yang dipanggil sebagai soft landing," ujarnya.