WAKTU operasi bagi semua premis perniagaan dan perkhidmatan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan kekal sama iaitu bermula dari 8 pagi hingga 8 malam. Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan itu tidak berubah bagi mengurangkan pergerakan orang ramai di seluruh negara. "Setakat ini kita kekalkan SOP lama sebab kita cuba mengurangkan pergerakan di seluruh negara. Bila berlaku terlalu banyak pergerakan mungkin pematuhan PKP tidak dapat dilaksanakan. ARTIKEL BERKAITAN: PKP fasa 2 lebih ketat! Pasar raya, restoran dan bisnes lain diarah tutup pukul 8 malam "Ramai yang panjang akal juga ni. Bila kita kata (buka) sampai pukul 10 malam yang tak beli barang pun keluar dengan alasan nak keluar beli barang untuk bersahur dan sebagainya. "Jadi dua jam tu kita boleh bayangkan berapa ramai akan keluar. Ini akan menyukarkan pihak polis di sekatan jalan raya kerana alasan mereka untuk beli makanan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Khamis. Justeru, Ismail Sabri menggesa orang ramai supaya keluar awal dan patuh kepada SOP yang ditetapkan sepanjang bulan Ramadan. "Kalau nak beli barang untuk sahur belilah awal-awal lagi," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata waktu operasi pengangkutan awam pula akan ditambah sejam lagi iaitu bermula 4 petang sehingga 10 malam. "Kalau dulu waktu operasi kenderaan awam 5 petang hingga 10 malam, kita tambah satu jam iaitu pukul 4 petang hingga 10 malam. "Ini kerana di bulan puasa ada kakitangan awam dibenar pulang lebih awal dari waktu biasa. Sebab itu kita tambahkan waktu operasi," katanya. Mengenai waktu operasi pasar awam pula, Ismail Sabri berkata waktu operasi akan dilanjutkan sehingga pukul 2 petang. "Ada kata mereka beli barangan basah untuk berbuka dan sahur. Kalau dulu pasar ditutup pukul 12 tengah hari, jadi sekarang kita lanjutkan hingga pukul 2 petang. "Ini bagi memudahkan rakyat berbelanja di pasar basah untuk menyediakan makanan berbuka dan bersahur," katanya.