suria

“Yang ada di bandar tak boleh balik kampung” - Menteri jawab kekeliruan

Aliran trafik sesak berikutan sekatan jalan raya yang dibuat oleh anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Rela sempena PKP. Foto Bernama

KERAJAAN menegaskan bahawa rakyat yang berada di bandar tidak dibenarkan pulang ke kampung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, malah sejak PKP mula dikuat kuasakan sejak 18 Mac lalu, pergerakan dari bandar ke kampung adalah tidak dibenarkan.

“Yang ada di bandar nak balik ke kampung tak boleh, daripada awal lagi kita kata tak boleh. Ramai yang ingin sambut buka puasa di kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapor diri di balai polis atau aplikasi Gerak Malaysia jika mahu pulang ke rumah atau tempat kerja selepas 1 Mei - Pesanan Ismail Sabri kepada rakyat Malaysia di kampung

“Daripada awal lagi kita kata tak boleh ada pergerakan dari bandar ke kampung. Jangan keliru, jangan ada yang pergi lapor di balai polis kata nak balik kampung... balik kampung tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kelonggaran kepada rakyat yang berada di bandar untuk pulang ke kampung.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran itu hanya terpakai kepada rakyat negara ini yang telah pulang ke kampung sejak sebulan yang lalu dan tidak dapat pulang ke kota berikutan PKP.

Malah, kerajaan sedia membenarkan pelajar yang masih berada di kampus universiti masing-masing untuk pulang ke kediaman atau kampung halaman mereka yang mana pergerakan pulang itu perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk saringan kesihatan.

“Yang saya sebut semalam adalah mereka yang terperangkap di kampung. Dulu, bila umum saja dua hari lagi akan ada PKP, ramai yang tergesa-gesa balik kampung. Yang itu sudah terperangkap lebih satu bulan,” katanya.

Beliau menambah, mereka yang mahu berbuat demikian perlu mendaftar menerusi aplikasi 'Gerak Malaysia' untuk mereka melaporkan diri secara dalam talian, atau pergi ke balai polis berdekatan.

“Walau bagaimanapun, keputusan belum kita buat. Kita cuma kata mereka boleh mendaftar secara online atau melaporkan kepada balai-balai polis mulai 25 April supaya kita dapat informasi yang jelas berapa ramai sebenar balik (ke kampung) sebelum PKP dan mahu pulang ke bandar, tempat tinggal atau tempat kerja masing-masing.

"Bila dah dapat info yang jelas, kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang sama ada boleh atau tidak.

"Kalau boleh, maka kita akan sediakan SOP yang ketat untuk cara mereka pulang,” katanya sambil menambah sekiranya pendekatan itu dilaksanakan sekalipun, ia hanya bermula 1 Mei depan.

kampung, bandar, pulang, puasa,

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan