suria

Pelajar IPT di zon merah dilarang pulang, wajib jalani saringan kesihatan - Ismail Sabri

Pelajar-pelajar yang berada di Zon Merah di sekar untuk pulang ke negeri Zon Hijau bagi mengelak penularan Covid-19.
1 / 1

KEPUTUSAN kerajaan untuk membenarkan pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta pulang pastinya melegakan hati ibu bapa di kampung.

Pergerakan pulang pelajar terlibat secara terancang itu akan bermula 27 April ini, bagaimanapun ia hanya melibatkan zon hijau sahaja.

Manakala setakat ini, pelajar yang berada di zon merah tidak dibenarkan pulang ke kampung yang dikategorikan zon hijau dan perlu menjalani saringan gejala terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan kesihatan antara SOP jika 80,000 hingga 100,000 pelajar IPT dibenar pulang ke kampung - Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu hal yang sama bagi pelajar yang rumah mereka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Jika pelajar terbabit berada di universiti atau menyewa rumah dalam zon merah dan ingin pulang ke zon hijau, itu tidak dibenarkan, sama juga jika hendak balik ke kediaman dalam kawasan PKPD, juga tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun, kita sudah bincangkan dan mereka boleh balik ke rumah ahli keluarga terdekat seperti abang atau kakak di zon hijau," katanya ketika sidang media harian pada Jumaat..

Jelas Ismail Sabri lagi, pergerakan itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan pada waktu siang.

"Bagi pelajar yang mempunyai kenderaan sendiri, mereka dibenarkan bergerak sendiri, namun tidak merentasi negeri lain, dan hanya satu kenderaan hanya satu orang sahaja dan perlu dapatkan kelulusan pihak polis," katanya.

Selain itu, katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyediakan SOP di kawasan zon hijau, kuning dan merah.

“Selain SOP untuk di dalam kawasan itu, kita juga akan buat SOP pergerakan daripada luar ke dalam dan dalam keluar sempadan.

“Ianya perlu dijaga kerana kita tidak mahu berlaku pergerakan dari zon merah ke zon hijau misalnya.

“Sejauh mana kelonggaran diberikan itu, MKN akan berbincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan pihak polis untuk mengeluarkan SOP khusus bagi zon-zon yang telah ditetapkan, ” jelasnya.

Dua hari lalu, Perlis diumumkan sebagai negeri pertama mencapai status zon hijau tanpa kes aktif Covid-19 di semua bandar di negeri itu.

Artikel Lain