suria

“Mereka tak ada ruang untuk ke tempat lain” - Ketat, selamat! Ismail Sabri umum SOP hantar 53,000 pelajar IPT pulang ke kampung

Pelajar-pelajar IPT akan dihantar pulang bermula 27 April ini.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) pada Jumaat telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi urusan penghantaran pulang para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kediaman keluarga masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP yang dibentangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pada mesyuarat menteri-menteri itu merangkumi proses pergerakan dan pengangkutan untuk memastikan perjalanan terkawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan kesihatan antara SOP jika 80,000 hingga 100,000 pelajar IPT dibenar pulang ke kampung - Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: 11 hari PKP, kerajaan tanggung kos makan lebih 74,500 pelajar IPT

"Mesyuarat telah bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar bermula Isnin, 27 April 2020. Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.

"Pergerakan secara berperingkat hanya melibatkan perjalanan ke Zon Hijau sahaja," katanya dalam sidang media harian pada Jumaat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pengumuman pada Khamis malam bersetuju memberi sedikit kelonggaran dengan membenarkan pelajar IPT yang berada di kampus untuk pulang ke kediaman keluarga masing-masing.

Sementara itu kata Ismail Sabri, pelajar yang terlibat dikehendaki menjalani ujian saringan kesihatan sebelum dibenarkan pulang walaupun tidak menunjukkan gejala selama lebih kurang sebulan berada di kampus.

"Mereka akan dibekalkan makanan dan topeng muka," kata Ismail.

Menurut Ismail, SOP yang dibentangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pada Mesyuarat Menteri-menteri itu merangkumi proses pergerakan dan pengangkutan untuk memastikan perjalanan terkawal.

Mengulas mengenai urusan pengangkutan, Ismail Sabri berkata para pelajar akan diambil dari kampus masing-masing menaiki bas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah mereka.

"Dari balai polis dan pejabat daerah, mereka akan dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi kerajaan termasuk frontliners. Bermakna mereka tak ada ruang untuk pergi ke tempat lain.

"Kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas," ujarnya lagi.

Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, kata Ismail, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan.

"Sebelum membuat perjalanan, mereka perlu mendapat surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis yang berhampiran," katanya.

Menurut Ismail lagi, proses penghantaran pulang ini melibatkan sebanyak 85 peratus pelajar IPT iaitu bersamaan sektar 53,000 pelajar.

"Sebanyak 15 peratus pelajar lagi telah memilih untuk kekal di kampus masing-masing. Mereka yang memilih untuk terus kekal di kampus masing-masing.

"Ada yang tak pulang kerana nak periksa, ada yang nak belajar online di kampus kerana di kampung mereka tak ada internet.

"Mereka yang memilih untuk terus berada di kampus, KPT akan menyediakan makan minum mereka seperti biasa," ujarnya lagi.

IPT, KPT, pulang, ujian saringan, kampus

Artikel Lain