suria

Pemimpin persatuan Rohingya mohon maaf, akur status sebagai pelarian

Pelarian Rohingya menyeberangi sungai menggunakan rakit. Foto: REUTERS/Mohammad Ponir Hossain

SEORANG pemimpin persatuan Rohingya di negara ini memohon maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia susulan tuntutan yang dikemukakan segelintir kelompok puak berkenaan baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Rohingya di Malaysia (RSM) Abdul Ghani Abdul Rahman turut menyatakan masyarakat Rohingya di negara ini akur akan status mereka sebagai pelarian.

Beliau berkata tuntutan hak sama rata dengan rakyat Malaysia itu bukanlah pendirian keseluruhan Rohingya, sebaliknya agenda segelintir individu Rohingya di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawasan perumahan warga Rohingya, sekitar pasar borong Selayang antara lokasi PKPD ke-6

Ditemu bual menerusi telefon oleh Bernama TV (Astro 502), Abdul Ghani berkata 97,000 anggota masyarakat Rohingya di negara ini yang berdaftar dengan UNHCR sangat sedar dan berasa beruntung apabila Malaysia menerima kehadiran pelarian Rohingya.

"Saya memohon dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia dan tuntutan itu bukan daripada semua kaum Rohingya, hanya tuntutan satu dua orang Rohingya, lagipun sama ada ia benar atau tidak saya pun tak tahu, ” katanya.

Permohonan maaf oleh RSM itu merujuk kepada beberapa kenyataan yang didakwa dibuat oleh segelintir individu daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) yang menuntut beberapa perkara daripada kerajaan Malaysia seperti peluang pekerjaan, akses kesihatan dan pendidikan.

Reaksi rakyat Malaysia terhadap tuntutan itu di media sosial hangat dengan ramai mendesak kerajaan menghantar semula semua Rohingya yang berada di negara ini dan jangan menerima lagi kehadiran mereka pada masa akan datang.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata dalam saat dunia melawan pandemik Covid-19, adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menolak daripada menerima lagi pelarian yang cuba mendapatkan perlindungan di negara ini dengan Malaysia sendiri mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan memasuki fasa keempat.

Pada 16 April lalu pihak berkuasa Malaysia menyekat 200 pelarian Rohingya yang cuba memasuki negara secara haram berhampiran perairan Langkawi menggunakan sebuah bot.

Sehari sebelum itu, pengawal laut Bangladesh dilapor menyelamatkan sebuah bot dengan 382 pelarian yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, selepas lebih dua bulan terdampar.

Sehingga 30 September 2019, sebanyak 177,943 pendatang asing tanpa izin (PATI) pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan di negara ini dari 57 negara dengan jumlah tertinggi adalah dari Myanmar iaitu seramai 153,591 orang, termasuk lebih 100,000 pelarian Rohingya. - BERNAMA

Rohingya, pelarian, mohon maaf, tuntutan

Artikel Lain