HANYA dalam tempoh 12 jam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 300,000 permohonan permit pergerakan antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui aplikasi Gerak Malaysia. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan pengisytiharan PKP. Tambahnya, angka tersebut dijangka meningkat berkali ganda menjelang 29 April. ARTIKEL BERKAITAN: Lapor diri di balai polis atau aplikasi Gerak Malaysia jika mahu pulang ke rumah atau tempat kerja selepas 1 Mei - Pesanan Ismail Sabri kepada rakyat Malaysia di kampung ARTIKEL BERKAITAN: “Yang ada di bandar tak boleh balik kampung” - Menteri jawab kekeliruan “Amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit, ” katanya dalam kenyataan pada Ahad. Beliau berkata dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut. Hasil pemantauan dan penilaian, katanya, akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima. Huzir juga menasihatkan orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan. Beliau berkata kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri. "Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak, ” katanya. - BERNAMA