ISU berkaitan etnik Rohingya yang ketika ini menjadi topik perdebatan hangat pelbagai pihak, sedang disiasat pihak polis. Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan rakyat negara ini agar tidak bertindak keterlaluan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin persatuan Rohingya mohon maaf, akur status sebagai pelarian "Akhir-akhir ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu banyak berita melalui media sosial yang dikeluarkan, dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka. "Jadi polis sedang siasat perkara ini kerana ada yang menganggap sesetengah video adalah palsu. Bagaimanapun tiada sesiapa yang dapat menentukan kesahihan video dan audio tersebut kecuali polis. "Jadi polis sekarang menyiasat video, audio, segala berita yang berkaitan dengan Rohingya. "Untuk sementara itu saya harap rakyat semua tolong bertenang dan jangan timbulkan isu yang boleh membangkitkan kemarahan yang akhirnya mencetuskan sesuatu yang tak diingini," katanya pada sidang media harian berkaitan PKP pada Isnin. Terdahulu beliau diajukan soalan oleh pemberita mengenai reaksi segelintir rakyat negara ini di media sosial yang agak membimbangkan susulan penularan video mengaitkan 'tuntutan' etnik tersebut terhadap kerajaan. Zafar menafikan membuat tuntutan hak sama rata untuk etnik Rohingya kepada kerajaan Malaysia. Mengulas lebih lanjut, Ismail menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja termasuk pelarian yang berada di negara ini. Terdahulu, isu pelarian Rohingya hangat diperkatakan di media sosial susulan tular satu kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani. Kenyataan tersebut mengatakan Merhrom menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan menuntut hak sama rata dengan rakyat Malaysia. Perkara itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia sehingga mengeluarkan komen-komen keterlaluan terhadap etnik tersebut. Namun Zafar menafikan beliau membuat tuntutan berkenaan. Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zafar telah mengemukakan penjelasan dan permohonan maaf.