suria

SOP: Bagasi pelajar IPT, bas disanitasi... hanya seorang ahli keluarga dibenar ambil atau dihantar frontliner ke rumah

Kepulangan pertama pelajar bermula malam ini. fotoBERNAMA.

KEPULANGAN kumpulan pertama 1,128 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta akan bermula Isnin malam dari zon tengah ke zon utara.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka kemudianya akan dihantar ke lokasi drop-off iaitu balai-balai polis dan pejabat daerah masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Terbayang juadah berbuka puasa dengan keluarga, pelajar IPT mula pulang hari ini

"Sebelum bas berlepas, ia akan disanitasi. Bagasi juga disanitasi. Perjalanan malam ini melibatkan 49 bas, sembilan universiti ke 17 destinasi.

"Setibanya di drop-off, hanya seorang ahli keluarga yang dibenar ambil pelajar. Kita percaya ada pelajar, keluarganya tiada kenderaan.

"Petugas barisan hadapan akan hantar mereka ke rumah masing-masing. Jadi bas dijangka tiba pukul 9 pagi esok," ujarnya pada Isnin.

Kata Ismail lagi, dua syarikat iaitu Marry Brown dan Gardenia turut menyumbang bekalan makanan sahur untuk kumpulan pelajar berkenaan.

Bas yang tiba di zon tengah itu pada keesokan harinya akan disanitasi semula sebelum digunakan untuk membawa pelajar di sana pulang ke zon tengah.

Penghantaran pelajar ke Sabah Sarawak pula akan bermula 1 Mei 2020.



Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Ismail dalam sidang media hariannya turut mengulas isu kepulangan mereka yang terkandas di kampung.

Seperti dimaklumkan, permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia namun tiada ketetapan dibuat sehingga kini jika mereka mahu pulang secara berkumpulan.

"Saya dah bangkitkan perkara ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRRM) akan keluarkan operasi prosedur standard (SOP) baharu.

"Saya percaya PDRM akan mengeluarkan FAQ (soalan lazim) untuk mereka beri jawapan perkara tersebut. Kita tunggu FAQ PDRM dan mugkin ada SOP baharu.

"Setakat ini SOP belum dibincangkan. Kita tunggu 1 Mei baru akan bincang dan keluar SOP selepas itu... dan putuskan boleh balik (berkumpulan) atau tidak, bila dan sebagainya," ujarnya.

Pelajar, IPTA, IPTS, PKP, Rohingya

Artikel Lain