suria

Langgar PKP: Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Perak dihadapkan ke mahkamah

Gambar yang membabitkan Dr Noor Azmi tular di media sosial.

TIMBALAN Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Kerajaan Negeri Perak Razman Zakaria dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Gerik bagi menghadapi pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu.

Dr Noor Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, serta Razman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak tiba serentak pada 9.20 pagi.

Kedua-dua mereka serta beberapa individu lain akan didakwa kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong.

Kawalan di sekitar mahkamah diperketat dengan kehadiran polis selain media yang mula tiba seawal 7 pagi bagi membuat liputan prosiding kes Dr Noor Azmi dan Razman. - BERNAMA

Artikel Lain