suria

Banjir kilat ‘hantui’ penduduk sejak 18 tahun lalu, terbaharu berlaku menjelang waktu berbuka

Keadaan dapur rumah keluarga Anuar yang dinaiki air ketika umat Islam berbuka puasa baru-baru ini.

KETIKA umat Islam seluruh Malaysia menanti waktu berbuka puasa pada Isnin lalu, penduduk Batu 14, Kampung Baru Puchong, Selangor berduka apabila rumah dinaiki air akibat banjir kilat.

Menurut penduduk kampung, Azlan Sharif, banjir kilat yang sudah saban tahun menghantui penduduk di kawasan tersebut dipercayai berlaku akibat limpahan air dari kawasan Persiaran Saujana dan Taman Mutiara Indah.

“Banjir ini mula berlaku sejak tahun 2002 apabila Taman Mutiara Indah mula dibina, kami sudah berdepan dengan masalah ini selama 18 tahun.

“Jadi diharap pihak berwajib dapat turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan dan Ramadan dalam keadaan berduka ini, ” ujar Azlan yang juga aktivis masyarakat.

Sementara itu bercerita mengenai banjir yang menimpa mereka, Anuar Ali Omar Ali, 49 berkata limpahan air mula sampai ke kawasan perkampungan mereka sekitar jam 6.30 petang.

"Dalam pukul 6.45 petang saya nak hantar makanan ke rumah mak, masa tu saya nampak air mula naik, mak dengan adik kelam kabut angkat barang-barang, tarik sofa, keadaan bertambah sukar sebab orang tua saya menggunakan kerusi roda.

"Dalam pukul 7 malam air dah mula memenuhi bilik air, dapur dan ruang tamu kedua. Mak saya dah mula risau, jadi saya cakap tak mengapalah kita reda sahaja, kami berbuka dahulu kemudian baru bersihkan semula rumah, ” katanya.



Aliran air deras di hadapan rumah Kamarulzaman.

Anuar berkata selain dihantui perasaan bimbang setiap kali hujan, mereka juga terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi untuk memperbaiki struktur rumah yang mengembang apabila terkena air bah dan menggantikan peralatan rosak.

Anuar yang tinggal di kawasan berhampiran turut mengalami nasib sama.

"Sebelum ini saya sudah tinggikan kedudukan rumah sebanyak enam inci dan meletakkan penghadang air tapi nampaknya masih juga air masuk di bahagian dapur," ujarnya.

Anuar berkata limpahan air deras turut mengakibatkan jalan raya di kawasan tersebut berlopak.



Bahagian dapur rumah ibu Anuar dinaiki air beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa.

Sementara itu seorang lagi penduduk Kamarulzaman Ismail, 52 berkata dia terpaksa berhujan di luar rumah bagi memastikan aliran air yang melalui di kawasan depan dan belakang rumahnya berjalan lancar.

“Pada hari kejadian saya berbuka di luar rumah sebab nak pastikan aliran air lancar. Kalau ada sangkut sampah atau batang kayu boleh sebabkan aliran air jadi lebih deras," katanya.

Kamarulzaman yang sudah lebih 20 tahun tinggal di kampung terbabit turut meluahkan kekecewaannya kerana terpaksa berterusan berhadapan dengan situasi ini.

Menurutnya limpahan air dari kawasan itu pernah mengakibatkan kawasan perumahan mereka dipenuhi air berlumpur setinggi lebih setengah meter.



Longkang sementara dibina bagi mengalirkan air ke kawasan lain.

“Saya rasa sangat kesal. Ini melibatkan harta benda, saya terpaksa keluar belanja beli perabot, tikar getah setiap kali banjir, kemudian terpaksa ganti barangan rumah lain yang rosak, ” katanya.

Ujarnya lagi mereka terpaksa hidup dalam kegusaran terutama sekali sewaktu musim hujan.

"Bila musim hujan, kami perlu bersedia. Rumah memang tak boleh tinggal lama sebab kalau hujan nanti tiada siapa boleh uruskan sebab kita takut air masuk dalam rumah.

"Limpahan air ini kita tak boleh jangka, macam kali ni ada dua kali gelombang air yang sampai jadi kami sentiasa perlu bersedia," katanya.

Sementara itu Timbalan Yang dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali ketika dihubungi berkata banjir kilat di kawasan terbabit berlaku disebabkan kapasiti longkang sedia ada di Persiaran Saujana Puchong sudah tidak mampu menampung aliran air di permukaan jalan serta limpahan air dari tanah pemaju Ayer Hitam Development Sdn Bhd.

“Pihak perbandaran akan mengeluarkan surat kepada pemaju terbabit untuk menyediakan kolam takungan dan ban bagi menghalang air mengalir keluar ke kawasan kampung Batu 14 dan Persiaran Saujana Puchong, ” katanya.

Pihak majlis perbandaran juga merancang menaiktaraf sistem saliran di kawasan Persiaran Saujana Puchong.

“Projek menaiktaraf sistem saliran di kawasan Persiaran Saujana Puchong ini telah kami masukkan dalam Pelan Operasi dan Bajet Tahunan 2020 dan sedang menunggu kelulusan, ” katanya lagi.

Pihak kami telah menghantar email kepada pihak pemaju Ayer Hitam Development Sdn Bhd untuk turut mendapatkan maklum balas mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

banjir, banjir kilat, Puchong, puasa

Artikel Lain