suria

Rakyat Malaysia... PKP tak ditarik balik, yang ingkar masih kena tindakan - Ismail Sabri

Sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP. Foto Bernama

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa meskipun PKP Bersyarat (PKPB) bakal bermula Isnin ini, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PKP tersebut diberikan sedikit kelonggaran kepada sektor tertentu dengan prosedur operasi standard (SOP) menerusi PKP Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa pada 4 Mei,

Jelasnya, Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terus dikuatkuasa sepanjang PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

"PKP tidak ditarik balik, masih terus dilaksanakan. Bukan bermakna PKPB ini tidak ada akta lagi yang mengikat rakyat kita untuk patuh kepada setiap arahan.

"Akta 342 masih lagi berkuat kuasa dan tindakan masih boleh diambil terhadap mereka yang melanggar kepatuhan akta ini," katanya pada sidang media, petang Sabtu.

Pada masa ini, PKP memasuki fasa keempat dari 29 April sehingga 12 Mei.

Ismail Sabri berkata, pergerakan dan SOP ketika PKP fasa keempat masih seperti PKP fasa satu, dua dan tiga.

Beliau menambah, PKPB yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat, adalah berdasarkan kepada dua kriteria utama iaitu kepentingan kesihatan dan keperluan merangsang semula ekonomi negara.

"Oleh sebab itu, kerajaan telah menyediakan SOP yang ketat untuk semua sektor," katanya.

Terdapat beberapa sektor yang masih dilarang beroperasi bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKP, PKPB,

Artikel Lain