suria

Rentas negeri 7-10 Mei: Lebih 1.2 juta muat turun aplikasi Gerak Malaysia, borang di FB, Twitter PDRM

Lebih 1.2 juta individu telah memuat turun aplikasi Gerak Malaysia.

MASALAH melibatkan rakyat negara ini yang terkandas dan gagal merentasi negeri akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjadi bualan hangat.

Sehubungan itu, mereka perlu memuat turun aplikasi Gerak Malaysia untuk pulang ke tempat masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengangkutan awam kembali beroperasi seperti biasa esok, jumlah penumpang dihadkan separuh

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, lebih 1.2 juta individu telah memuat turun aplikasi berkenaan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 503,276 individu telah memohon permit berkenaan sejak 25 April lepas.

"Aplikasi ini telah dinaik taraf ke versi 2.0 dengan membolehkan orang ramai menetapkan perjalanan yang ingin dilakukan sebelum 6 Mei ini, ” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata perjalanan boleh dilakukan bermula 7 hingga 10 Mei mengikut hari dan negeri yang telah ditetapkan.

Malah, orang ramai diminta untuk mengemas kini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mendapatkan borang rentas negeri menerusi laman Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula hari ini.

Malah, borang itu juga perlu dicetak dan diisi sebelum dibawa ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kelulusan.

"Ia bagaimanapun hanya tertakluk kepada orang awam yang berada di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia untuk memohon membuat pergerakan.

"Permohonan manual ini boleh dibuat bermula hari ini namun orang ramai selepas itu perlu membuat janji temu dengan balai berdekatan bagi urusan penghantaran borang bagi mengelakkan kesesakan," katanya.

Beliau berkata kelulusan akan diberikan pada hari sama selepas borang berkenaan diserahkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain