suria

Anugerah Star Golden Hearts ke-6: Misi juri cari wira tak didendang

Lam Thye (kiri) dan Sharifah Alauyah merupakan antara tujuh juri bagi Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) edisi ketujuh.

ANUGERAH Star Golden Hearts (SGHA) kini memasuki tahun keenam, untuk terus menghargai individu dan kumpulan, menerusi usaha kreatif dan lestari serta beramal kebaikan.

Ketua juri, Tan Sri Lee Lam Thye berharap dapat menilai calon-calon yang berpotensi terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membantu golongan lain.

"Ini adalah tahun yang luar biasa dan belum pernah terjadi sebelumnya, jadi saya tidak sabar-sabar untuk menerima pencalonan dalam kalangan rakyat Malaysia yang komited dan baik hati dengan berusaha kerasa untuk membantu orang lain yang terjejas akibat PKP.

"Saya menantikan calon-calon yang melakukan perkara yang inovatif dan melangkaui imaginasi orang lain sama ada dalam dari segi bantuan terhadap kemiskinan, pendidikan atau sosial," katanya.

Lam Thye berkata, beliau amat tersentuh apabila banyak individu dan kumpulan yang telah membantu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang kehilangan sumber pendapatan semasa PKP.

Ketua Yayasan Gamuda, Sharifah Alauyah Wan Othman berkata, pada tahun ini, pendekatannya adalah mencari penyelesaian yang tidak dibayangkan dan berkekalan dalam kalangan pemenang-pemenang SGHA yang dapat memastikan kemajuan berterusan dalam masyarakat.

"Saya berharap dapat melihat pencalonan-pencalonan yang sesuai dengan tujuan kita dalam memperkasakan usaha membangunkan masyarakat yang memberi impak positif kepada kehidupan orang lain melalui peluang dalam pendidikan dan penyertaan ekonomi.

"Yayasan Gamuda percaya bahawa apabila projek-projek kemasyarakatan dilakukan untuk kemajuan masyarakat kita berkekalan, impak sosial yang transformatif dan berterusan dapat dilakukan," ujar beliau.

Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star (SMG), Esther Ng berkata, SGHA lebih relevan daripada sebelumnya, terutama kini ketika negara dan dunia memerangi wabak Covid-19.

"Menerusi SGHA, kita mencari ramai rakyat Malaysia yang berbakat dan perkara-perkara luar biasa yang mereka lakukan tetapi tidak selalu disuarakan.

"Rakyat Malaysia sangat istimewa, kita tidak suka menunjuk-nunjuk tetapi kita penuh dengan idea dan melalui kisah dan interaksi kita dengan masyarakat, kita dapat melihatnya," katanya.

Tambah Esther, walaupun beliau mahu melihat calon-calon yang kreatif dengan idea di luar kotak, namun kesannya kepada masyarakat adalah paling diutamakan.

Lam Thye, Sharifah Alauyah dan Esther merupakan antara tujuh juri terhormat untuk SGHA tahun ini.

Mereka yang lain adalah bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara dan aktivis alam sekitar, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, aktivis sosial terkenal, Syed Azmi Alhabshi, serta perunding perlindungan kanak-kanak dan bekas penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Vijayakumari Pillai.



Dr Adeeba (kiri) dan Syed Azmi juga merupakan juri SGHA.

Che Asmah berharap untuk melihat kepelbagaian dalam pencalonan, terutama bagi individu atau kumpulan yang telah berbakti di kawasan dan komuniti yang kurang bernasib baik.

"Saya juga mencari mereka yang berkhidmat dengan lestari, meninggalkan kesan panjang dan berimpak tinggi," katanya.

Che Asmah mengakui ramai yang terdorong untuk membantu semasa pandemik Covid-19, namun beliau mencari mereka yang sentiasa berbakti kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Sementara itu, Dr Adeeba berkata, selama bertahun-tahun, juri melihat banyak contoh hebat daripada individu-individu dan organisasi, berikutan jumlah serta kualiti calon meningkat setiap tahun.

"Saya tidak ragu bahawa kita akan melihat jumlah calon yang lebih besar tahun ini dinilai berdasarkan apa yang telah kita saksikan dengan sambutan Covid-19," katanya.

Dr Adeeba berharap dapat menilai individu dan organisasi yang telah bekerja penat untuk memperbaiki kehidupan orang lain dan masyarakat.

Beliau turut bersetuju bahawa pandemik Covid-19 telah menyaksikan ramai wira dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan SGHA lebih relevan untuk menghargai wira-wira yang tidak didendang.

Syed Azmi berkata: "Kali ini, kita mencari sesuatu yang dapat kita pelajari. Semua orang saling membantu kerana rakyat Malaysia pada umumnya sangat bermurah hati.

"Tetapi apa yang saya cari adalah nilai-nilai yang meninggalkan kesan yang mana calon-calon memupuk lebih banyak pengetahuan, membantu mewujudkan adab yang lebih baik atau mengubah corak pemikiran masyarakat menjadi lebih baik"

Syed Azmi juga berharap agar lebih banyak syarikat dan penaja mengadakan inisiatif yang seumpamanya bersama SGHA untuk mewujudkan lebih banyak penghargaan dan penghormatan kepada mereka yang berkenaan.

"Ini adalah masa yang tepat bagi orang ramai untuk menulis dan mencalonkan individu atau organisasi yang memberi kesan bermakna," katanya.

Bagi Vijayakumari, beliau turut berharap dapat melihat calon-calon yang bukan sekadar kreatif, tetapi juga meninggalkan kesan yang mendalam, terutama mereka yang menjangkau masyarakat yang kurang bernasib baik

"Saya sangat menghargai mereka yang melakukan kerja-kerja yang baik untuk alam sekitar dan mendekati Orang Asli atau mana-mana komuniti yang memerlukan banyak bantuan," katanya.

Tambah beliau, walaupun wabak Covid-19 berakhir kelak, amalan murni rakyat Malaysia yang melakukan perkara-perkara luar biasa sebelum dan semasa wabak itu akan tetap berkekalkan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Anugerah Star Golden Hearts, SGHA,

Artikel Lain