suria

Hanya 20 minit antara kebenaran bersyarat solat Jumaat dan Aidilfitri di Perak

Pemeriksaan suhu badan tetap dijalankan untuk jemaah yang datang ke masjid dan surau.

KEBENARAN solat Jumaat di seluruh Perak bermula esok, 15 Mei 2020, begitu juga solat sunat Aifilfitri di masjid serta surau pada 1 Syawal nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bagaimanapun menurutnya, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu iaitu bilangan jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang.

"Pengerusi Jawatankuasa Kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah terbatas dalam kalangan ahli kariah dan pegawai masjid sahaja, adalah tidak digalakkan warga yang berusia lebih daripada 60 tahun untuk hadir berjemaah.

"Setiap jemaah juga hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, setiap jemaah dikehendaki mengambil wuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah masing-masing.

Katanya, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir.

"Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir," katanya.

Shahrul Azam berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut menetapkan kebenaran menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar masjid dan surau.

Jelasnya, tempoh masa bermula azan, khutbah hingga selesai solat Jumaat, begitu juga tempoh mula bertakbir hingga selesai khutbah solat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

"Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Penyusunan saf dan kedudukan dalam masjid atau surau diri Jumaat hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai tanpa perlu mengadakan sebarang jamuan makan minum terutama selepas selesai urusan solat sunat Aidilfitri," katanya.

Beliau menegaskan, masjid dan surau diri Jumaat masih tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan pegawai masjid dan surau.

Menurutnya, mana-mana masjid dan surau diri Jumaat yang tidak berupaya atau gagal memenuhi kesemua syarat dan panduan ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri berkenaan.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya.-sinarharian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

solat, Jumaat, Aidilfitri, Sultan Perak

Artikel Lain