BAYI perempuan yang dilaporkan dicampak oleh ibunya sendiri dari balkoni tingkat 4 di sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Lepas pada Rabu, berada dalam keadaan stabil di Hospital Pulau Pinang. Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan berkata, bayi itu kini berada di unit rawatan rapi (ICU) di hospital berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan remaja perempuan campak bayi baru lahir dari tingkat 4 "Menurut doktor, bayi itu mengalami kecederaan pada otak dan ada keretakan di kepalanya. "Dia juga mengalami kecederaan pada jantung dan akan dirujuk kepada pakar. "Kedua-dua bayi dan suspek berada di Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. "Kami menahan teman lelaki suspek untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Pada Rabu, seorang penghuni yang tinggal di tingkat bawah flat terdengar bunyi dentuman benda jatuh ke atas sengkuap balkoni rumahnya sebelum jatuh ke bawah, menyebabkan dia keluar untuk melihat apa yang berlaku dan menemui bayi berkenaan. Individu itu kemudian menghubungi polis dan sepasukan anggota bersama pasukan perubatan digegaskan ke lokasi dan pemeriksaan ke atas bayi tersebut menemukan kecederaan pada bahagian kepalanya. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan polis melancarkan pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum menahan suspek yang merupakan seorang remaja berusia 18 tahun yang tinggal bersama keluarganya selepas dia didapati dalam keadaan mencurigakan. Berdasarkan siasatan awal, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengaku melahirkan bayi berkenaan pada 7 pagi di dalam bilik air dan bertindak mencampak bayi tersebut dari balkoni rumah kerana tidak mahu kejadian diketahui keluarganya. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!