suria

Khabar gembira! Peneroka Felda, Risda, Felcra dapat bantuan khas Aidilfitri RM300

Peneroka akan menerima bantuan sebanyak RM300 sempena Aidilfitri. Foto: A Malex Yahaya/THE STAR

SERAMAI 495,000 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dalam kategori B40 dan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima bantuan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM300.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, bantuan khas itu melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM148 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat

Menurut kenyataan itu, bantuan khas tersebut akan memberi manfaat kepada 113,000 peneroka Felda, 90,000 pengusaha Felcra dalam kategori B40 dan 292,000 pekebun kecil RISDA yang mengusahakan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

"Penyaluran Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 akan bermula pada 18 Mei ini. Kerajaan berharap bantuan khas ini dapat meringankan beban mereka terutama dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil maklum kedudukan harga pasaran global komoditi seperti kelapa sawit dan getah yang semakin merosot disebabkan penularan wabak Covid-19.

Situasi tersebut secara langsung menjejaskan pendapatan hampir 500,000 peneroka, peserta dan pekebun kecil yang bernaung di bawah Felda, RISDA dan Felcra di seluruh negara. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

bantuan khas, Aidilfitri, peneroka

Artikel Lain