suria

“Lupakan angka 20, raya kali ini amat unik” - KP Kesihatan saran ‘Aidilfitri tertutup’

KKM menasihatkan orang ramai supaya beraya di rumah sendiri secara tertutup.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihatkan umat Islam supaya meraikan sambutan Aidilfitri kali ini secara tertutup.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendekatan itu perlu dilakukan bagi melindungi keluarga masing-masing dan komuniti daripada jangkitan wabak Covid-19 yang masih lagi aktif dalam masyarakat di negara ini.

"Raya kali ini amat unik dan belum pernah terjadi sebelum ini tetapi sekurang-kurangnya kita boleh melindungi keluarga kita.

"Jika kita memainkan peranan masing-masing kita boleh memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Malah Dr Noor Hisham turut menyarankan orang ramai supaya memulakan amalan perintah berkurung di rumah sendiri dengan mengelakkan orang luar berkunjung ke rumah.

"Jadi anda mulakan dengan lakukan perintah berkurung di rumah sendiri. Ini inisiatif yang bagus jika anda boleh melakukannya.

"Malah jika ada ahli keluarga datang dari zon merah sebagai contoh, anda perlu ambil langkah berjaga-jaga.

"Jadi ini yang dapat anda lakukan, perintah berkurung di rumah sendiri. Malah berhenti berkunjung dari satu rumah ke rumah yang lain," katanya.

Mengenai arahan kerajaan yang membenarkan hanya 20 individu sehari untuk menziarah pada 1 Syawal, Dr Noor Hisham menyifatkan angka tersebut amat relatif.

"Anda ikut 3C. Jika 20 orang di ruang sempit, pada dasarnya ia bertentangan dengan apa yang kita sarankan. Jadi angka itu amat relatif.

"Lupakan mengenai angkat tersebut. Paling penting patuh prosedur operasi standard (SOP) 3C dan 3W.

"Jika rumah anda cukup besar tidak jadi isu, tetapi jika ruang rumah anda terhad, anda perlu nasihatkan anak-anak supaya jangan balik. Anda masih boleh berkomunikasi dengan mereka menerusi panggilan video," katanya.

SOP 3C adalah mengelakkan kawasan sesak dan sempit serta bertutur pada jarak dekat manakala 3W pula iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; digalakkan memakai topeng muka di tempat awam atau jika bergejala; serta memberi amaran berkonsep peringatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Syawal, unik, Dr Noor Hisham, Covid-19

Artikel Lain