suria

Pertukaran kerajaan dijangka berlaku di Kedah selepas 36 Adun selesai menghadap Sultan

Kerajaan PH Kedah tumbang selepas dua Adun PKR keluar parti pada Selasa. Foto: G.C.TAN/The Star

PERTUKARAN kerajaan dijangka berlaku di Kedah selepas kesemua 36 Adun dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selesai menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat.

Difahamkan, PN yakin bahawa calon Menteri Besar yang baharu bakal dilantik pada Ahad ini (17 Mei) dalam upacara angkat sumpah secara tertutup.

Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka mengambil alih jawatan menteri besar daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Pakatan Kedah jatuh selepas dua Adun PKR keluar parti

ARTIKEL BERKAITAN: Semua 36 Adun Kedah menghadap Sultan esok

Adun Ayer Hangat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Juhari Bulat berkata, mereka yang menghadap pada sebelah pagi adalah wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri yang baharu.

"Mereka yang menghadiri sesi pagi adalah kumpulan yang menyokong pemerintah baharu manakala kumpulan yang hadir pada sebelah petang adalah yang tidak menyokongnya," katanya ketika dihubungi.

Adun PH termasuk Mukhriz dilihat meninggalkan bangunan pentadbiran negeri secara berperingkat.

Sultan Sallehudin dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman dengan kereta rasmi pada sekitar pukul 5 petang.

Kesemua 36 Adun dijemput menghadap Sultan Kedah dipercayai susulan perkembangan politik di negeri itu di mana Selasa lalu, dua Adun PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kedah, PN, PH, kerajaan

Artikel Lain