suria

Bersesak beli keperluan hari raya? Jika ingkar SOP, pertimbang tindakan penguatkuasaan bersepadu - Dr Noor Hisham

KKM rayu orang ramai patuhi SOP demi mengekang penularan wabak Covid-19.

KETIBAAN Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bakal menyaksikan pertambahan jumlah individu yang keluar bagi membeli barangan keperluan sempena perayaan tersebut.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon orang ramai patuh prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan demi mengekang penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: 22 kes baharu positif Covid-19, tiada kematian direkodkan pada Ahad

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jika gagal dipatuhi, tidak mustahil langkah penguatkuasaan akan dilaksana bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes dalam tempoh itu.

"Sekarang kita sudah ada SOP yang dikeluarkan oleh KKM. Apa yang pasti, kita kena patuh SOP.

"Dan kalau SOP tak patuh, mungkin kita akan jalankan penguatkuasaan. Dan perkara ini kita akan bincang bersama di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tindakannya adalah bersepadu, bukan hanya KKM.

"Perkara ini memang merisaukan dan membimbangkan KKM, tetapi kami merayu kepada setiap individu, setiap keluarga supaya patuh walaupun berada di kedai atau pasar raya," ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham, perkara itu dibuat demi kebaikan bersama dalam melindungi diri sendiri serta orang sekeliling daripada jangkitan Covid-19.

Paling mustahak katanya, pematuhan jarak sosial, pemakaian topeng wajah dan aspek kebersihan tangan sewaktu berada di tempat awam.

"Sebab kita tak nampak virus Covid-19. Kalau kita dapat jarakkan sekurang-kurangnya satu meter, jadi kita tak dijangkiti.

"Dan juga cecair pembasmi kuman dan pakai topeng wajah di tempat awam. Ini saranan KKM dan kita harap perkara ini dipatuhi di setiap tempat," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain