suria

Dua beranak bergaduh... warga emas berusia 90 tahun maut dipukul anak hidap masalah mental

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada muka dan tangan. Gambar sekadar hiasan.

SEORANG wanita warga emas maut dipukul anak perempuannya yang menghidap masalah mental selepas dua beranak itu bergaduh dalam kejadian di rumah mereka di Lahar Kepar, Kepala Batas, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, Loh Foh Mooi, 90, ditemukan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di muka dan tangan di ruang tamu rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas maut terjatuh dari tingkat 13

"Semasa kejadian itu terdapat cucu perempuan mangsa yang juga anak suspek berusia 16 tahun di rumah itu dan remaja berkenaan mendengar pertengkaran antara ibu dan neneknya itu," katanya di sini hari ini.

Noorzainy berkata remaja itu yang ketakutan kemudiannya menghubungi sepupunya yang tinggal di Sungai Dua untuk meminta bantuan kerana bimbang sesuatu terjadi.

"Tidak lama kemudian ibu saudara remaja itu yang juga anak bongsu warga emas berkenaan datang ke rumah tersebut dan sebaik membuka lampu dia terkejut apabila menemui ibunya dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah," katanya.

Menurutnya anak bongsu mangsa kemudiannya menghubungi hospital sebelum pasukan perubatan tiba dan pemeriksaan mendapati warga emas itu telah meninggal dunia serta terus memaklumkan kepada polis.

Katanya mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat manakala suspek yang berumur 53 tahun dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan mental sebelum polis menahannya untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain