suria

Aktiviti membentuk kumpulan termasuk main bunga api tak dibenarkan - “Polis adakan rondaan pantau pematuhan SOP”

Aktiviti riadah secara berkumpulan seperti bermain bunga api adalah tidak dibenarkan.

KERAJAAN tidak membenarkan aktiviti riadah secara berkumpulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, termasuk bermain bunga api.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Aidilfitri kali ini agak berbeza kerana ia bakal disambut dalam keadaan terkawal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Saya nak ingatkan bahawa aktiviti riadah secara berkumpulan tidak dibenarkan. Tindakan yang boleh berlakunya perhimpunan atau berkumpulan tidak dibenarkan.

"Saya percaya malam raya dan hari raya pertama nak bermain bunga api dan sebagainya. Jika berlaku kelompok yang besar jumlahnya, ia juga salah dari segi SOP," katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), petang Sabtu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya memberi kerjasama dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh kerajaan.

"Pihak polis akan mengadakan rondaan seperti biasa untuk memantau pematuhan SOP.

"Saya amat berharap di hari raya ini tidak ada berlaku tangkapan atau dikompaun, disaman atau dihadapkan ke mahkamah. Hari raya tidak perlu berakhir dengan perkara seperti itu.

"Saya merayu supaya patuhi setiap SOP supaya tiada siapa yang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain