suria

Mahu pulang tapi visa tamat tempoh, pekerja asing hanya perlu tunjuk tiket... tiada tindakan dikenakan! - Ismail

Warga asing yang visa atau pas lawatan mereka telah tamat tempoh tidak akan dikenakan tindakan oleh kerajaan. Foto: Bernama

WARGA asing yang visa atau pas lawatan mereka telah tamat tempoh tidak akan dikenakan tindakan oleh kerajaan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah mereka yang berhasrat untuk pulang ke negara masing-masing juga akan dilepaskan dan hanya perlu menunjukkan tiket penerbangan ketika di lapangan terbang.

ARTIKEL BERKAITAN: 97 peratus warga asing huni 2 premis PKDP ke-4 perlu bayar sendiri makanan - Ismail Sabri

"Walau visa tamat tempoh, tapi mereka tidak akan diambil tindakan. Kita tahu sewaktu Covid-19, imigresen dan sebagainya ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1), PKP2.

"Kalau mereka mahu pulang, apabila sampai ke lapangan terbang, hanya perlu tunjukkan tiket penerbangan pulang dan kita akan lepaskan walaupun visa dah tamat tempoh sekalipun," ujarnya ketika menjawab pertanyaan pemberita ketika sidang media harian Covid-19 pada Khamis.

Namun jika ada di antara mereka yang mahu memanjangkan tempoh berada di negara ini, Ismail berkata, mereka yang berkenaan perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi Sistem Temujanji Online (STO) di portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

"Ia (permohonan) bukan perbaharui visa, tapi buat permohonan untuk membuat appointment supaya pihak imigresen boleh menetapkan tarikh untuk mereka datang.

"Jadi tak perlu tunggu, terus perbaharui visa dan boleh pulang bila-bila masa yang mereka perlu pulang," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain