suria

Sepuluh rakyat Malaysia maut dijangkiti Covid-19 di New York

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di New York memegang kotak berisi barang keperluan yang disumbangkan oleh MAA. Foto: The Star

SEKURANG-KURANGNYA 10 rakyat Malaysia yang tinggal di New York, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat Covid-19, demikian menurut Persatuan Malaysia Amerika (MAA).

Presidennya Kim Bong berkata, dua daripadanya adalah ahli jawatankuasa persatuan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib pelajar pulang dari UK, niat baik mengaku positif Covid-19 sudahnya dipersalahkan... dilabel ‘pembawa’ - “Kami tak minta dijangkiti”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Malaysia di luar negara ini pilih untuk pulang... anggap ditanggung 14 hari check-in hotel mewah bukan keistimewaan - “Tentunya untuk kebaikan semua”

"Seorang daripadanya adalah pemilik restoran, sementara yang lain dijangkiti di subway (kereta api bawah tanah)," katanya menerusi wawancara telefon.

Kim berkata, antara mangsa yang lain adalah pasangan Malaysia yang tinggal di Brooklyn.

"Kami mendapat panggilan memaklumkan kematian meraka minggu lalu," katanya, sambil menambah bahawa setakat ini kira-kira 30 rakyat Malaysia telah dijangkiti virus maut itu di New York.

Kim, yang mengendalikan perusahaan perkapalan dan elektronik berkata, MAA membantu dengan mengatur perkhidmatan pengkebumian untuk rakyat Malaysia tersebut.

"Masalahnya di New York adalah sangat sedikit orang yang mengambil langkah berjaga-jaga pada awal pandemik, seperti memakai topeng muka," ujarnya.

Katanya, MAA turut membantu dengan menyumbangkan topeng muka ke hospital dan juga menghantar makanan yang dimasak kepada kakitangan barisan hadapan.

Pengerusi bersama MAA Jack Liaw, yang menjalankan perniagaan perakaunan di wilayah Queens, berkata kematian rakyat Malaysia sangat menyedihkannya.

"Kerana perintah berkurung, kami tidak dapat menghadiri pengebumian mereka untuk memberi penghormatan terakhir.

"Sangat menyedihkan bahawa mereka kehilangan nyawa mereka di tanah asing yang jauh dari rumah," katanya.

Angka kematian Covid-19 di New York setakat ini berjumlah 23,282 orang, dengan jumlah kes positif yang dilaporkan adalah sekitar 360,000 kes. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, New York

Artikel Lain