suria

Muhyiddin pemangku pengerusi Bersatu, keahlian Tun M dan empat lagi terhenti serta-merta

Kenderaan membawa Muhyiddin tiba di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam Khamis. fotoBERNAMA

MESYUARAT Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam Khamisi mengesahkan keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi terhenti serta-merta, dan mengiktiraf Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi Bersatu yang sah selaras dengan perlembagaan parti itu.

Perkara itu diperincikan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang turut berkata keahlian Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Mazslee Malik turut terhenti mengikut fasal dalam perlembagaan parti.

"Mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keahlian Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.

"Dalam mesyuarat tersebut, MPT mengiktiraf tugas yang digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi yang sah selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, setelah peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Malam tadi Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MPT yang bertempat di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya yang merupakan mesyuarat MPT pertama dihadirinya setelah beliau selesai menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari yang berakhir semalam, susulan seorang pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet di pejabatnya disahkan positif Covid-19.

Memperincikan lebih lanjut, sambil menyatakan mesyuarat berjalan dengan lancar dan penuh tertib, Hamzah berkata, MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa keputusan untuk parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) yang telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari lalu dan pengumuman rasmi yang dibuat oleh Muhyiddin selaku pemangku pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur.

"MPT juga menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin, Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 setelah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata MPT turut memuktamadkan beberapa lagi isu pada mesyuarat malam tadi, antaranya berkenaan status pelantikan Setiausaha Agung (SUA) dengan MPT mengesahkan Datuk Wira Marzuki Yahya telah diberhentikan sebagai SUA melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac dan pelantikan dirinya sebagai SUA yang baharu pada 26 Mac adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.

Selain itu, katanya MPT turut mengesahkan bahawa Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah Setiausaha Kerja Bersatu yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi.

Dalam kenyataan sama, Hamzah berkata parti itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi Dr Mahathir, mantan Timbalan Presiden Mukhriz, mantan Ketua Armada Syed Saddiq dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti, atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.

"Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Muhyiddin, Bersatu, Tun M, keahlian, pengerusi

Artikel Lain