suria

Tambang RM1 sehari, e-wallet RM50... ketahui intipati lain yang diumumkan PM di bawah Penjana

Program MY30 akan berkuatkuasa pada 15 Jun ini.

BERITA gembira buat pengguna pengangkutan awam apabila kerajaan memperkenalkan tambang pengangkutan RM1 sehari di bawah program MY30.

Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan berkuatkuasa pada 15 Jun hingga 31 Disember ini membabitkan pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

"Saya memahami pengguna pengangkutan awam keluar bekerja dan mereka yang me lakukan aktiviti lain.

"Bagi meringan beban kos pengangkutan kerajaan perkenal program MY30. Hanya perlu bayar RM30 sebulan, RM1 sehari untuk nikmati perjalanan tanpa had dibawah seliaan Prasarana di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perutusan khas pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, Jumaat petang.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan manfaat khas kepada kira-kira 300,000 golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Katanya, golongan tersebut yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bayaran one-off sebanyak RM300.

Bayaran tersebut akan dibayar sebelum sambutan Aidiladha nanti.

Antara inisiatif lain yang diumumkan adalah:

- Kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna yang dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 bermula Julai ini.

- Kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta akan menjalankan kempen “Shop Malaysia Online” bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.

- Kerajaan setuju lanjut dan seragamkan waktu operasi UTC berkuatkuasa 1 Julai.

- Perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabyte akan dinikmati secara percuma semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman web berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video sehingga 31 Disember 2020.

- Pengecualian cukai pendapatan sehingga RM5,000 kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer riba atau tablet daripada majikan.

- Kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan. Selain itu, e-Baucar akan disediakan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian dan juga insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain