SELEPAS Makcik Kiah dan Pak Salleh, nama Kak Radziah dan Datuk Lim pula disebut-sebut sehingga menjadi trending di media sosial, petang Jumaat. Kenapa? Sebab dua nama ini menjadi sebutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas dalam mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). "Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana Penjana dapat memberi manfaat kepada anda sekalian. Misalnya, Kak Radziah pengusaha taska di bawah pakej Prihatin telah mandapat manfaat daripada subsidi upah dan sebagai seorang usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000. ARTIKEL BERKAITAN: "Terima kasih PM" - Sugu Pavithra ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersenyum PM bantu Makcik Kiah buat kiraan mudah... ibu jual pisang goreng, suami pesara bawa Grab, anak pinjam PTPTN! ARTIKEL BERKAITAN: Check list buat Pak Salleh sebelum restoran mula beroperasi minggu depan... penjawat awam dan pekerja swasta pula kerja dari rumah norma baharu masa kini "Di bawah Penjana, Kak Radziah sekarang dapat menikmati pelanjutan subsidi upah untuk tiga bulan lagi. Di samping itu, dengan pembukaan semula taska selepas PKP, Kak Radziah juga sekarang layak menerima bantuan taska sebanyak RM5,000 dan juga insentif kursus asuhan sebanyak RM900 bagi setiap pekerjanya," katanya. Muhyiddin turut memberitahu, di bawah Prihatin, Datuk Lim mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman bank yang membantu kelangsungan aliran tunai perniagaannya. "Selain itu, perniagaan Datuk Lim di bawah Prihatin juga dikecualikan levi HRDF. Ekoran pengecualian cukai untuk pembelian rumah dan kereta di bawah Penjana, Datuk Lim sekarang berminat untuk membeli pangsapuri dan kereta untuk anak dewasanya. "Di samping itu, bagi menyokong mengurus perniagaannya dari rumah, Datuk Lim menikmati internet percuma bagi membuat persidangan video dan dapat pengecualian cukai pendapatan untuk pembelian laptop baharunya," katanya. Dalam perutusan khas sebelum ini, Muhyiddin menyebut nama Makcik Kiah dan Pakcik Salleh sebagai contoh dalam pengumuman beliau bagi kefahaman yang lebih mudah kepada rakyat. Perutusan khas oleh Perdana Menteri mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). YouTuber Malaysia yang kini menjadi perhatian iaitu pasangan suami isteri dengan nama 'Sugu Pavithra' turut disebut Muhyiddin dalam perutusan khas beliau. "Saya berharap, usaha kerajaan ini dapat terus memberi manfaat kepada rakyat. Contohnya seperti Encik Sugu dan Puan Pavithra yang viral di media sosial bulan lepas. "Dia ada buat jemputan untuk saya datang makan nasi briyani di rumahnya. "Mudah-mudahan mereka dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan pada satu hari nanti. "Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka," ujar Muhyiddin. Pasangan suami isteri itu, S.Pavithra, 28, dan suami M.Sugu, 29, memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu di akaun YouTube 'Sugu Pavithra' sehingga bejaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum. Terdahulu, pasangan itu juga menerima hadiah istimewa daripada Perdana Menteri berupa tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!