suria

Pasangan bukan Islam perlu daftar perkahwinan sebelum 31 Julai, elak kemuka permohonan baharu

Pendaftaran yang terjejas akibat PKP perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini.

PENDAFTARAN perkahwinan pasangan bukan Islam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diselesaikan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum 31 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pendaftaran itu perlu diselesaikan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan keperluan untuk mengemukakan permohonan baharu.

"Mesyuarat khas memutuskan semua pendaftaran perkahwinan yang terjejas perlu diselesaikan sebelum 31 Julai.

"Ini bagi mengelakkan pendaftaran perkahwinan dapat dilakukan tanpa keperluan untuk permohonan baharu dikemukakan dan tidak perlu membayar fi sekali lagi," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Ahad petang.

Jelas beliau lagi, JPN turut membenarkan pendaftaran perkahwinan berlangsung di 171 rumah ibadat yang diluluskan Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tempoh (PKP).

"Jadi ada 171 rumah ibadat yang kita luluskan, mereka boleh daftar di rumah ibadat yang diluluskan saja.

"Mereka tidak dibenarkan untuk buat upacara pendaftaran di luar senarai rumah ibadat yang dibenarkan.

"Inilah yang berlaku minggu lepas apabila berlaku upacara perkahwinan di rumah ibadat yang tidak disenaraikan," katanya.

Terdahulu, kerajaan membenarkan pasangan bukan Islam yang mahu mendaftarkan perkahwinan mereka dihadkan kepada empat orang sahaja.

Empat individu tersebut terdiri daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi.

Keputusan itu dibuat bagi memudahkan urusan akad nikah pasangan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain