MASIH berharap kepada penemuan vaksin, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin rakyat negara ini mampu memutuskan penularan Covid-19 dengan menggunakan kaedah kesihatan awam. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perkara sama telah dicapai sebelum ini menerusi pemutusan jangkitan wabak Sars dan MERS-CoV. ARTIKEL BERKAITAN: 19 kes baharu Covid-19 libatkan 11 warganegara Malaysia, tiada kematian dilaporkan "Sampai hari ini Sars dan MERS-CoV tidak ada vaksin tapi menggunakan kaedah kesihatan awam, kita dapat membendung jangkitan virus itu di negara kita. "Tanpa menggunakan vaskin... jadi ada kemungkinan tanpa guna vaksin kalau kita semua patuh prosedur operasi standard (SOP) dan saranan kesihatan awam, kita juga boleh putuskan jangkitan Covid-19 tanpa vaksin," ujarnya pada Ahad. Kata Dr Noor Hisham, kaedah itu tidak mustahil untuk dicapai, namun ia memerlukan kerjasama semua anggota masyarakat di negara ini. Tambahnya, KKM menyeru kepada rakyat Malaysia agar patuh segala SOP yang dikuatkuasakan kerajaan. "Jadi tak mustahil untuk kita berjaya memutuskan jangkitan Covid-19 tanpa menggunakan vaksin. Tapi kalau ada vaksin lagi bagus. "Kalau tak ada pun, kita mungkin boleh guna kaedah tersebut. Jadi kita hanya menyeru rakyat Malaysia patuh kepada SOP," jelasnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!