suria

Ramai plan balik kampung hujung minggu ini, pesan Pak Long Ismail... utamakan kawalan kendiri!

Perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). fotoBERNAMA

PENGUMUMAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kebenaran pergerakan rentas negeri berkuatkuasa pada 10 Jun ini ternyata menggembirakan rakyat Malaysia.

Malah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan ramai akan pulang ke kampung halaman masing-masing pada hujung minggu ini.

Namun di sebalik kelonggaran yang diberikan kerajaan, beliau berharap agar kawalan kendiri terus menjadi keutamaan semua memandangkan virus Covid-19 masih lagi ada dalam kalangan masyarakat.

"Kelonggaran ini amat menggembirakan seluruh rakyat. Saya lihat pelbagai parodi di media sosial termasuk yang bujang tunggu keputusan ini bila PM umum sekatan perjalanan rentas negeri ditamatkan.

"Saya percaya ramai balik hujung minggu ini. Jadi saya harap walaupun ada kebenaran dan kebebasan tapi kawalan kendiri perlu dikekalkan.

"Kalau ibu bapa, datuk dan nenek kita umur melebih 60 tahun (warga emas) dan anak-anak kurang 12 tahun berisiko tinggi dari segi jangkitan. Jadi kita perlu berhati-hati kerana kemungkinan ketibaan kita akan menyebabkan berlakunya jangkitan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Isnin petang.

Mengulas mengenai ziarah kubur, Ismail Sabri berkata perkara itu dibenarkan tetapi terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa.

"Ziarah kubur sebenarnya memang dibenarkan sewaktu Aidilfitri cuma tak boleh lebih 20 orang dan kena ada penjarakkan sosial.

"Cuma kalau ramai ahli keluarga yang pergi, kawasan kubur tak luas, takut ada perhimpunan yang ramai jadi bolehlah bergilir-gilir untuk pergi," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata prosedur operasi standard (SOP) mengenai sambutan Aidiladha akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.

"Kita akan bincang secara terperinci dengan menteri hal ehwal agama dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita akan bentangkan semula kerana Aidiladha masih lama lagi, saya ingat dalam sebulan lebih lagi dari sekarang.

"Jadi kita akan umumkan mengenai SOP tersebut bila sampai masanya nanti," katanya.

Katanya, semua peringatan yang berulang kali disampaikan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mahu pun dirinya ada untuk manfaat semua.

"Nanti akan ada yang kata Abah, Pak Long Ismail, Pak Ngah Hisham nasihat macam-macam, semuanya untuk menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain