suria

“Kita belum sampai penghujung walau ada sinar cahaya” - Dr Noor Hisham tegaskan aspek kebersihan paling utama hapuskan Covid-19

Seorang pengunjung mendaftar diri melalui pengimbas kod QR manakala pengawal keselamatan mengimbas suhu badan pengunjung lain di sebuah pusat beli belah. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai untuk melaporkan kepada pihak mereka ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mengesan berlaku penipuan dalam keputusan ujian saringan Covid-19 khususnya melibatkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan memalsukan ujian tersebut adalah satu kesalahan dan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan berhak minta bukti surat bebas Covid-19 daripada tukang gunting rambut warga asing

"Kita membenarkan melakukan saringan di makmal swasta dan juga makmal kementerian.

"Namun kalau ada unsur penipuan, kita galakkan mereka yang dapati ada unsur penipuan untuk adukan kepada KKM. PDRM akan ambil tindakan.

"Ini satu kesalahan. Tindakan mengikut Akta 342 akan dijalankan. Kita minta orang ramai kalau sangsi, laporkan ke KKM atau PDRM. Siasatan akan dijalankan dan akan diambil tindakan," katanya dalam sidang media KKM pada Sabtu petang.

Terdahulu beliau ditanya pemberita mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kewujudan sindiket pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19 melibatkan warga asing.

Polis sebelum ini menahan lima lelaki Bangladesh selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen keputusan negatif saringan Covid-19 bagi warga asing dalam serbuan di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur, 9 Jun lalu.

Dalam perkembangan yang berasingan, Dr Noor Hisham juga menggalakkan rakyat Malaysia meningkatkan tahap kebersihan susulan wabak Covid-19 masih wujud di dalam komuniti.

Beliau mengulas isu di mana 45 kes baharu positif Covid-19 dikesan di sebuah pasar borong di Xinfadi, Beijing yang didakwa berpunca daripada isu kebersihan di pasar berkenaan.

"Kita belum sampai penghujung walau ada sinar cahaya seolah-oleh kita berjaya tapi virus masih ada dalam komuniti.

"Oleh itu rakyat Malaysia kena ambil langkah pencegahan, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan sosial yang selamat, pastikan kita cuci tangan menggunakan sabun, dan kalau perlu pakai topeng di tempat awam.

"Ini isu kebersihan, kalau kita guna cara tak bersih, ada kemungkinan jangkitan berlaku. Covid-19 mengajar kita untuk menjaga kebersihan diri," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain