suria

“Tak ada kluster gunting rambut” - Warga Pakistan tukang gunting rambut positif Covid-19 hanya ada 31 kontak rapat, 29 negatif

Hasil siasatan lanjut mendapati seramai 29 kontak rapat kepada tukang gunting rambut warga Pakistan yang positif Covid-19. Gambar hiasan

SERAMAI 29 kontak rapat dengan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif Covid-19, telah menjalani ujian saringan dan hasil keputusan adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut adalah daripada 31 kontak rapat yang dikenal pasti selepas siasatan lanjut dijalankan.

"Sebelum ini kontak rapat adalah 40 orang, setelah disiasat lanjut terdapat beberapa dalam kalangan mereka tidak mendapat perkhidmatan atau diklasifikasikan sebagai kontak rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: Servis dari rumah ke rumah bawa padah, tukang gunting warga Pakistan disahkan positif Covid-19... 40 kontak rapat sudah dijejaki

"Jadi, jumlah individu yang disaring adalah 31 orang, ada kaitan dengan kes ini cuma 31 orang sahaja.

"Kita telah laksanakan ujian, 29 adalah negatif," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, baki dua kontak rapat masih menunggu keputusan ujian saringan.

"Jadi, setakat ini kita tak ada kluster gunting rambut. Hanya ada satu kes yang positif," katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif Covid-19, dikenal pasti.

Kontak rapat terbabit dikesan melalui panggilan telefon yang dibuat membabitkan empat rakan serumahnya serta pelanggan yang menggunakan khidmat gunting rambut.

Majikannya tidak membuka premis di Kuala Lumpur sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, namun pekerja terbabit terus menyediakan khidmat dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan.

Kedai gunting rambut itu mula beroperasi pada 10 Jun dan majikan membawa pekerja menjalani saringan Covid-19, sebelum disahkan positif.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain