suria

Ikut kapasiti, keluasan... pawagam, aktiviti kolam renang dibenarkan mulai 1 Julai, taman tema air masih dilarang!

Panggung wayang dibenarkan mula beroperasi bermula 1 Julai ini dengan SOP yang ditetapkan. Foto: The Star

MEMASUKI hari ke-13 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan pelbagai sektor diberi kelonggaran untuk beroperasi semula.

Menerusi sidang media PKP pada Isnin, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti riadah pawagam, teater dan live event dibenarkan untuk dibuka semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua PBT berkuasa tutup taman awam jika SOP PKPB dilanggar - Ismail Sabri

"Kebenaran untuk aktiviti ini bermula pada 1 Julai 2020 dan hanya di dewan tertutup sahaja.

"Bagaimanapun, aktiviti ini tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan

"Sebelum masuk SOP seperti biasa, periksa suhu badan, pakai topeng muka, cuci tangan, dan diletakkan tanda untuk penjarakkan sosial," katanya dalam sidang media tersebut.

Selain itu menurut Ismail juga, mesyuarat khas mengenai pelaksanaan PKP pada Isnin turut bersetuju untuk membenarkan aktiviti riadah kolam renang, juga bermula pada 1 Julai 2020.

"Aktiviti riadah kolam renang ini dibenarkan di kolam renang awam, hotel, kondominium, gated community serta kolam renang persendirian.

"Pra syarat untuk setiap lokasi kolam renang mestilah menyediakan life guard dan pemantau ataupun penyelia bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.

"Jumlah pengguna dalam kolam renang perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang," ujarnya.

Namun begitu ujar beliau, kerajaan masih lagi tidak menggalakkan kanak-kanak menggunakan kolam renang walaupun secara dasarnya tiada larangan untuk aktiviti tersebut.

"Kolam-kolam renang ini juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY dan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pematuhan kepada SOP dan pantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan," ujarnya sambil menambah, aktiviti pelancongan air di sungai, laut dan tasik adalah dibenarkan dengan syarat mestilah mematuhi SOP.

Bagaimanapun tegas Ismail, Taman Tema Air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi setakat hari ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain