suria

Kenduri kahwin, setakat 250 orang atau lebih... keputusannya diumum Rabu ini

Keputusan sama ada kerajaan memberikan lampu hijau kepada majlis kenduri kahwin hanya akan diketahui Rabu ini.

KEPUTUSAN sama ada kerajaan membenarkan majlis kenduri kahwin sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya akan diketahui Rabu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

"Saya terima banyak permohonan pengusaha dan perunding majlis perkahwinan. Mereka hadapi masalah pendapatan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kita faham perkara ini. Hari ini memang dibentangkan cadangan berkaitan kebenaran majlis perkahwinan tapi ia akan dibincangkan lebih detail esok," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Isnin petang.

Beliau berkata terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Bukan saja dari segi kebenaran tapi prosedur operasi standard (SOP), jumlah kehadiran adakah setakat 250 orang atau tidak, atau mungkin lebih lagi.

"Jadi kita akan bincangkan esok petang. Saya akan umumkan pada hari Rabu," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penganjuran seminar, mesyuarat, kursus dan latihan dibenarkan bermula 1 Julai depan.

"Kebenaran ini meliputi semua organisasi berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (RoS). Saya percaya ramai pertubuhan mahu mengadakan mesyuarat agung, seminar termasuklah parti politik.

"Jadi mereka boleh memulakan mesyuarat agung mulai 1 Julai. Kebenaran ini juga diberikan kepada semua pertubuhan lain termasuklah persatuan penduduk," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain