suria

“Majlis dibenarkan di masjid, dewan atau rumah... tak lebih 250 orang” - Menteri perjelas kekeliruan SOP nikah

Majlis akad nikah juga dibenarkan dengan tidak melebihi 250 tetamu, bermula 1 Julai ini. Gambar hiasan

MAJLIS akad nikah juga dibenarkan dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang bermula 1 Julai ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata demikian bagi menperjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai majlis akad nikah yang masih dianggap perlu dilakukan dengan kapasiti 20 orang.

"Sebenarnya ramai yang agak keliru apabila saya mengumumkan majlis perkahwinan dibenarkan dengan kapasiti 250 (orang) dan majlis-majlis lain, ia termasuk juga majlis akad nikah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah, bakal pengantin dah boleh senyum! Akhirnya kenduri kahwin dibenarkan dengan syarat ikut SOP

"Kalau pertunangan, perkahwinan kita dah benarkan, akad nikah juga kita benarkan.

"Majlis akad nikah, sama ada ada di dalam masjid, dewan, rumah dan sebagainya boleh mengundang tetamu tidak melebihi 250 orang," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, had tetamu itu tertakluk kepada saiz keluasan dan kapasiti ruang.

Katanya, ia termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakkan sosial.

Minggu lalu, Ismail Sabri dalam sidang media mengumumkan bahawa semua majlis sosial seperti perkahwinan dan pertunangan boleh dianjurkan bermula 1 Julai ini.

Selain itu, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi serta majlis perjumpaan semula juga dibenarkan.

Katanya, majlis itu dihadkan masanya untuk tempoh tiga hingga lima jam dengan kapasiti kehadiran tidak lebih 250 orang.

"Kapasiti ini juga tertakluk kepada saiz ruang serta penjarakkan sosial. Makanan majlis perlu secara hidang atau bufet disediakan, pramusaji hendaklah menghidangkan makanan berkenaan," tambah Ismail Sabri.

Antara SOP lain adalah merekodkan kehadiran tetamu, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka mesti dilakukan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

nikah, perkahwinan, 250 orang, SOP,

Artikel Lain