suria

Tun M perjelas cadangan angkat Mukhriz sebagai TPM bukan daripada dirinya – “Saya berada dalam keadaan serba salah...”

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui berada dalam keadaan serba salah susulan pencalonan anaknya Datuk Seri Mukhriz bagi jawatan TPM (II). Foto: Joshua Paul/Bloomberg

TUN Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa cadangan menamakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (II) adalah bukan daripada dirinya.

Mantan perdana menteri itu berkata, sebaliknya pencalonan anaknya ke jawatan berkenaan sudah terlebih dahulu disebut dalam satu kenyataan bersama dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 22 Jun lalu.

Dr Mahathir menambah bahawa dia sedia maklum akan dikritik kerana perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M namakan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri

ARTIKEL BERKAITAN: Calon PM ke-9? Shafie Apdal akan teliti cadangan Tun M

"Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan.

"Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di blognya pada Isnin (29 Jun).

Dr Mahathir menambah, dia tidak mempunyai hak untuk menentang cadangan yang diberikan kepada Mukhriz baru-baru ini.

"Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya.

"Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

"Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya," tambah Ahli Parlimen Langkawi itu.

Menyedari cadangan ini dikritik hebat, bekas Perdana Menteri ketujuh itu berkata terpulanglah sama ada penjelasannya ini dipercayai atau tidak.

"Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia," katanya lagi.

Pada Sabtu (27 Jun), Dr Mahathir telah mengusulkan agar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri bersama Mukhriz sekiranya Pakatan Plus memenangi pilihan raya umum berikutnya.

Dia juga mencadangkan agar Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal iaitu Ketua Menteri Sabah, dijadikan calon Perdana Menteri pembangkang. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Tun M, TPM, Mukhriz, Pakatan Plus

Artikel Lain