KERAJAAN akhirnya membenarkan penganjuran sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy bermula 15 Ogos depan. Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan kejohanan tidak membabitkan penonton di peringkat dalam negara sahaja. "Sebagai contoh kejohanan Liga Super, Liga Premier MFL, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki (MHL) dan Liga Ragbi yang dibenarkan untuk memulakan pertandingan mereka pada 15 Ogos nanti," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang. Bagaimanapun, beliau berkata penganjuran itu perlu diadakan dalam keadaan terkawal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. "Antaranya setiap peserta atau pemain yang masuk perlu memuat turun aplikasi MySejahtera, disaring suhu badan dan gejala, kawalan bilangan petugas dan pengguna dihadkan dan mengikut sesi dan keluasan premis. "Peralatan juga perlu dibersih, dinyah kuman selepas setiap penggunaan, menggalakkan pengguna membuat tempahan pengesahan slot atas talian atau melalui telefon sebelum hadir ke venue berkaitan," katanya. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan individu juga dibenarkan, berkuatkuasa pada 15 Julai ini. "Sukan-sukan tersebut termasuk lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang dan litar-litar tempatan lain. "Jelas bahawa sukan motosikal, kereta tidak ada sentuhan fizikal pun masing-masing bersendirian. Begitu juga sukan badminton, tenis perseorangan, gimnastik, terjun papan anjal dan catur," katanya. Beliau berkata SOP terperinci mengenai perkara itu akan dimuatnaik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk rujukan. "Semua penganjuran kejohanan terhad kepada acara kejohanan tempatan saja tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan ramai," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!