suria

Lelaki Bangladesh tampil dalam dokumentari kontroversi Al Jazeera mohon maaf kepada rakyat Malaysia, dakwa tak berniat tuduh pihak berkuasa

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam untuk menjejakinya.

WARGA Bangladesh yang muncul dalam dokumentari berjudul 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' terbitan Al Jazeera, Md Rayhan Kabir memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kenyataannya di dalam dokumentari tersebut.

Peguam yang mewakili Md Rayhan, C.R.Selva berkata, perkara tersebut disampaikan oleh lelaki berkenaan kepadanya dalam sesi pertemuan mereka kira-kira sejam di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di Putrajaya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Bangladesh tampil dalam dokumentari kontroversi Al Jazeera akhirnya ditahan pihak berkuasa

"Rayhan meminta saya untuk menyampaikan permohonan maaf beliau kepada semua rakyat Malaysia dan anggota pengkuatkuasa," katanya ketika ditemui media selepas pertemuan tersebut.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam untuk menjejakinya.

Lelaki tersebut menimbulkan kemarahan ramai apabila mendakwa warga asing menerima layanan buruk daripada pihak berkuasa Malaysia ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan Covid-19.

Selva berkata anak guamnya menyatakan bahawa kenyataannya dibuat berdasarkan apa yang dilihat iaitu ketika melihat rakannya ditahan dengan tangan bergari dan diarahkan untuk masuk ke dalam lori penguatkuasa Jabatan Imigresen.

"Beliau tidak dapat menerima apa yang dilihatnya itu dan itu merupakan pandangan peribadi beliau namun beliau tidak berniat untuk menuduh pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata Md Rayhan akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Selva berkata anak guamnya telah menerima arahan pengusiran keluar dari negara ini susulan tindakannya itu.

"Beliau menerima keputusan pihak berkuasa untuk menghantarnya pulang dan beliau juga tidak sabar untuk berjumpa semula dengan keluarganya," katanya, sambil menambah kebajikan anak guamnya itu terpelihara dengan baik sepanjang ditahan Jabatan Imigresen.

Selva bagaimanapun berkata pihaknya masih belum menerima tarikh pengusiran Md Rayhan dan akan terus berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk perkembangan kes itu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain