KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar khusus kepada golongan memerlukan. Demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman dibuat pada Rabu petang. Antara yang bakal menikmati tawaran lanjutan adalah individu kehilangan kerja dan masih lagi belum mendapat pekerjaan baharu. "Individu yang hilang kerja pada tahun 2020 dan masih belum dapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati lanjutan untuk tempoh tiga bulan. "Selepas tiga bulan, tempoh itu boleh dilanjutkan oleh bank, bergantung kepada situasi individu. "Kedua, golongan yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman. Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji," ujarnya. Jelas Muhyiddin lagi, bantuan itu adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan. Selain itu, bank turut menawarkan bantuan kepada semua peminjam individu atau perusahaan kecil sederhana (PKS), baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat wabak berkenaan. Namun ia juga bergantung kepada situasi peminjam-peminjam tersebut, jelas Muhyiddin. "Bantuan ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan. "Terakhir, memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!