suria

Hasrat ke rumah nenek tak tercapai, budak 4 tahun maut tertinggal 10 jam dalam kereta

Menerusi kejadian itu, bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya. (Gambar Hiasan)

CUKUP menyayat hati.

Begitulah yang dapat menggambarkan bagaimana seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia selepas hampir 10 jam tertinggal di dalam kereta bapanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

Menerusi kejadian itu, bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir namun terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian hanya disedari bapa mangsa yang berumur 30-an itu, ketika hendak pulang ke rumah dari tempat kerjanya pada 6.20 petang.

“Sebelum kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi sebelum terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang," ujarnya.

Adzli berkata, selepas sampai ke tempat kerja, bapa mangsa keluar memandu lori ke beberapa kawasan, sebelum pulang semula ke tempat kerja berkenaan pada 4.30 petang dan terus masuk ke bangunan pejabat untuk menguruskan kerja lain.

“Selepas selesai bekerja, bapa mangsa telah pergi ke kereta sebelum melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.

“Bapa mangsa terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat, ” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain