suria

Angkat tema Covid-19... selebriti terkenal warnai telemovie, MV Aeon tanda semarak semangat patriotik Hari Kebangsaan

Aeon memperkenalkan telemovie, Kita Merdeka dan muzik video, Ayuh Kita Merdeka dalam menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan pada tahun ini.

AEON Retail Malaysia bakal menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan tahun ini dengan penghasilan telemovie, Kita Merdeka dan muzik video, Ayuh Kita Merdeka.

Bakal menemui penonton pada pukul 10 malam, 29 Ogos ini menerusi TV3, ia merupakan tribut dan tanda penghargaan buat petugas barisan hadapan di negara ini termasuklah yang bekerja dalam perkhidmatan dan produk penting.

Selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat Aeon, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin turut mengakui ia adalah hadiah mereka dalam menterjemahkan rasa penghargaan buat pekerja, rakan kongsi, pembekal dan seluruh ekosistem yang terlibat dalam memastikan setiap keperluan rakyat di negara ini mencukupi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan termasuklah pekerja kami semasa PKP dilaksanakan, dan kami memahami perasaan ahli keluarga mereka yang takut dan resah ketika mereka datang bekerja seperti biasa semasa kes Covid-19 meningkat.

"Justeru, telemovie ini adalah satu penghormatan kami kepada mereka yang bekerja tanpa putus bagi memastikan bekalan keperluan harian rakyat Malaysia di seluruh negara sentiasa mencukupi," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin.

Selain itu, dia juga mahu telemovie itu menjadi pemangkin semangat keusahawanan dan inovasi dalam kalangan rakyat negara ini yang mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagaimana dihadapi sewaktu pandemik Covid-19 memuncak di negara ini sekitar Mac lalu.

Memaparkan mesej positif yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam berhadapan Covid-19, ia berkisar mengenai cabaran dihadapi Aeon sebagai syarikat peruncitan sewaktu wabak itu mula melanda negara.

Malah, ia turut menonjolkan bagaimana pihak pengurusan berusaha menangani masalah yang dihadapi agar bekalan keperluan rakyat negara ini tidak terputus dalam tempoh itu.

Ia dibarisi pelakon seperti Azlee Khairi, Elisya Sandha, Fadlan Hazmi, Amy Mastura, Keith Foo, Riezman Ruzaini, Rahim Omar, Shiela Mambo, Ezzandra and Wilma Mohd.

Barisan selebriti yang menyanyikan lagu Ayuh Kita Merdeka.

Dalam pada itu, ia turut memaparkan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak Aeon sepanjang PKP termasuklah Projek Roti Putih,"Personal Shopper", Projek Berkat Ramadan, Projek Aeon Rider dan banyak lagi.

Selain telemovie, lagu Ayuh Kita Merdeka pula akan diperkenalkan menerusi program bual bicara MeleTOP di Astro Ria pada pukul 9 malam, Selasa sebelum tayangan telemovie itu 29 Ogos Dan tersedia untuk dilayari menerusi platform Spotify, Joox dan Apple Music pada 28 Ogos.

Versi pertama lagu itu menampilkan penyanyi seperti Aiman Tino, MimiFly dan bakat baharu seperti Mya Herry, Qhall, H.P.G dan Spectre F.

Versi kedua yang menampilkan genre balada dinyanyikan oleh Awi Rafael dan Sarah Fazny.

Video muzik itu pula diharap mampu menjadi sumber inspirasi dan kekuatan buat mereka yang terkesan dek pandemik Covid-19 agar tidak berputus asa dalam menjalani hari-hari mendatang dan akan disiarkan menerusi YouTube Aeon Retail Malaysia.

Selaras dengan projek telemovie itu, pihak Aeon turut melancarkan kempen promosi jualan digital 828 menerusi platform digital myaeon.com.my, kempen selama 63 jam bermula 10 pagi, Jumaat dan tamat pada 1 pagi 31 Ogos ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain